SAYA dilantik penduduk taman di tempat saya tinggal sebagai imam dan diiktiraf jabatan agama tempatan pada masa percalonan dengan ujian tertentu, tetapi malangnya selang setahun berlalu, saya dikejutkan dengan satu berita yang saya tidak layak menjadi imam kerana sifat zahir saya tidak sempurna. Saya mempunyai kaki kanan yang cacat, hanya mampu bertoncet mencecah lantai. Jadi, adakah saya dikategorikan imam tidak sempurna?
Adakah benar tidak sah solat berimamkan saya? Saya harap mendapat penjelasan yang terperinci dan nama kitab untuk dirujuk dan adakah hadis yang bersangkutan dengan perkara ini? HANYA KERANA ALLAH, Johor.
ANTARA syarat sah imam atau jemaah ialah:
(1) Islam
(2) Berakal
(3) Cukup umur
(4) Lelaki yang sebenar (sejati) sekiranya makmum di kalangan lelaki dan khunsa.
(5) Suci daripada hadas dan kotoran.
(6) Baik dalam bacaan dan mengerjakan rukun. Solat tidak sah di belakang imam yang bisu. Begitu juga tidak sah mengikut imam yang tidak berupaya rukuk, sujud, duduk dan mengadap kiblat kecuali makmum sama juga dengan keadaan imam. Mengikut mazhab Maliki disyaratkan imam berupaya menunaikan rukun solat sama ada rukun qawli (perkataan) seperti bacaan al-Fatihah dan fi’li (perbuatan) seperti rukuk, sujud atau berdiri. Sekiranya imam tidak mampu, tidak sah menjadi imam kecuali apabila makmum dan imam sama-sama uzur.
(7) Imam bukan seorang makmum. (az-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami, II: 173-79)Berdasarkan syarat di atas, kemungkinan jabatan agama menarik balik percalonan anda sebagai imam. Terimalah dengan penuh keredaan untuk kebaikan semua.
Selain itu, imam yang paling layak di kalangan anggota masyarakat adalah berdasar dua kategori utama iaitu sama ada berdasarkan:
(1) Orang yang paling faqih dan alim (afqahuhum) mengenai hukum solat atau
(2) Orang yang paling baik bacaan dan tajwidnya (aqra’uhum). Imam Malik dan Shafie berpendapat, imam dipilih daripada kalangan orang yang paling tahu mengenai hukum solat dan bukannya yang paling baik bacaannya. Ada yang berpendapat sebaliknya seperti Abu Hanifah, al-Thawri dan Ahmad (Ibn Rushd, Bidayat al-Mujtahid, I: 206).