Isnin, 1 September 2008

selamat berpuase

Gugur tuntutan sunat muakkad bila bertemu yang wajib

SOALANSaya bekerja secara syif di sebuah syarikat. Dalam sebulan, biasanya dua minggu saya bekerja waktu malam. Bolehkah saya mengambil masa bekerja iaitu kira-kira sejam setiap malam Ramadan untuk menunaikan solat sunat tarawih. Adakah gaji yang saya terima semasa mengerjakan solat itu dikira halal?

JAWAPANSaudara tidak boleh menggunakan waktu kerja untuk beribadat sunat. Walaupun hukum menunaikan solat sunat tarawih ini sunat muakkad. Namun apabila bertemu dengan suatu yang wajib maka gugurlah tuntutan sunat muakkad. Ini kerana kerja yang dipertanggungjawabkan dengan bergaji wajib ditunaikan mengikut lunasnya.
Sekiranya syif saudara bermula jam 8 malam dan habis jam 7 pagi, maka itu adalah waktu saudara diamanahkan berkerja dan jam berkerja itu dibayar imbuhannya.
Dalam pengertian ibadat yang luas, saudara termasuk dalam golongan yang beribadat. Ini kerana ibadat itu bermaksud mentaati perintah Allah SWT dan tidak melakukan maksiat kepadanya.
Dalam hal ini konsep ibadat perlu difahami dalam konteksnya yang luas. Secara umumnya ulama telah membahagikan ibadat ini kepada dua kategori, iaitu; ibadat umum dan ibadat khusus.
Ibadat khusus ialah ibadat yang difardukan ke atas setiap mukalaf untuk mengerjakannya, seperti solat lima waktu sehari semalam, puasa bulan Ramadan, menunaikan ibadat haji dan sebagainya. Sekiranya ibadat-ibadat fardu ini tidak dilakukan tanpa uzur syarie maka si mukalaf itu berdosa. Dosa yang menuntut supaya bertaubat dan taubat dalam meninggalkan fardu ini perlu diqada (diganti).
Manakala ibadat umum pula ialah apa sahaja perkara yang dilakukan oleh seorang hamba yang mukalaf yang membawa kepada kebaikan kepada dirinya, keluarganya serta masyarakatnya. Misalnya, berkerja mencari nafkah untuk diberi anak isteri dan ahli keluarga di bawah jagaannya, bergotong-royong membersihkan kawasan taman atau masjid atau surau, sehingga makan, minum dan tidur juga dikira sebagai ibadat umum.
Maksudnya, kerja saudara di waktu malam di bulan Ramadan juga ibadat. Yang penting saudara pasang niat, bahawa kerja yang saudara lakukan itu demi memelihara maruah diri dan keluarga dengan mencari rezeki untuk mereka. Mungkin saudara terkilan tidak dapat menunaikan solat sunat tarawih, tapi yakinlah bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan amalan saudara dalam rupa kerja.
Hal ini jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Allah dan Rasul-Nya akan melihat amal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata (untuk menerima balasan), lalu Dia menyatakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. (al-Taubah: 94).
Namun demikian, saudara boleh mengambil waktu rehat, atau membahagikan waktu rehat saudara kepada makan dan solat sunat tarawih di tempat kerja saudara. Mungkin waktu rehat yang diperuntukkan sejam, dalam sejam saudara boleh ambil 15 minit untuk makan dan yang selebihnya boleh bertarawih. Untuk melakukan tarawih sebanyak lapan rakaat berserta dengan witir dengan bacaan surah-surah lazim cukup 30 minit.
Apa yang penting bagi kita selaku umat Islam ialah menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amalan yang boleh membawa keberkatan dan rahmat Allah SWT.

Kemusykilan Agama Bersama Mohd. Farid Ravi Abdullah
Pengarah Institut Kajian Hadis,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)