Khamis, 2 Disember 2010

Ulama Saudi cabar pengharaman wanita memandu

JEDDAH 1 Dis. - Seorang ulama terkemuka Arab Saudi semalam mencabar pengharaman memandu ke atas wanita dengan mengatakan mereka perlu dibenarkan lebih penyertaan sosial di negara ini.
Sistem pemerintahan beraja Arab Saudi oleh keluarga Al-Saud mempunyai hubungan dengan ulama-ulama fahaman ketat Wahhabi yang menuntut wanita menutup anggota dari kepala ke ibu jari kaki selain dilarang memandu.
"Para ulama telah mengkaji isu ini dan tiada seorang pun yang menemui ayat dalam al-Quran yang menghalang wanita memandu.
"Saya tidak menganggap hal (memandu) itu sesuatu yang dilarang," kata ketua Pesuruhjaya Promosi Kesucian dan Pencegahan Maksiat kawasan Mekah, Ahmad al-Ghamdi kepada pemberita dalam acara sampingan program memperkasa wanita di Jeddah.
Wanita Arab Saudi tertakluk kepada sistem 'perwalian' yang memerlukan mereka menunjukkan kebenaran daripada bapa, abang atau suami untuk ke mana-mana atau bekerja.
Polis peronda agama sentiasa membuat rondaan di jalan-jalan raya bagi memastikan pengasingan jantina dan wanita berpakaian sopan.
Pemerintah negara pengeksport minyak ini bergelut dengan isu menyederhanakan undang-undang ketat fahaman Islam dalam mazbah Sunah ini yang mana Raja Abdullah telah menggantikan ulama konservatif dengan yang lebih liberal. - REUTERS