Ahad, 6 September 2009

Menantu selamatkan ibu mertua

MUAR 5 Sept. - Seorang lelaki bertindak nekad menendang pintu rumahnya untuk menyelamatkan ibu mertuanya yang uzur ketika kebakaran melanda rumah mereka di Parit Buaya, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, Ramli Rahim, 39, memasuki rumah melalui pintu dapur sebaik sahaja menyedari api mula marak di bahagian bumbung rumah itu.

Ibu mertuanya, Semah Sulaiman, 76, hanya mampu melihat api marak, namun dia bersyukur kerana tindakan pantas menantunya itu berjaya menyelamatkan dirinya.

Menurut Ramli, dia menyedari kebakaran itu selepas diberitahu anak-anak saudaranya yang ternampak asap di bahagian bumbung rumah.

"Saya dengan seorang anak saudara terus masuk ke rumah dan mengangkat ibu mertua yang terbaring di bahagian dapur.

"Api marak begitu cepat dan kami terpaksa keluar melalui pintu rumah abang ipar saya yang bercantum dengan rumah ibu mentua. Alhamdulillah, semua selamat dan tidak sesiapa yang tercedera," katanya yang bekerja dengan syarikat Southern Waste Management Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, menurut Pegawai Operasi Kanan Bomba dan Penyelamat Muar, Malley Salim , sebanyak dua jentera bomba dengan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

"Sebaik sahaja kami tiba, api sudah membakar hampir keseluruhan kediaman itu. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan nilai kerugian dalam kejadian itu," katanya.