Ulama lembut atau keras?
SOALAN: Pada masa mutakhir ini, ramai cerdik pandai agama kita keluaran dalam negara mahu pun luar negara. Ada antara mereka dari Mesir, Madinah mahu pun Jordan. Begitu juga keluaran Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kadangkala pendapat mereka berbeza. Sukar saya memilih mana satu pendapat yang betul. Apa nasihat tuan?
– Umat Keliru, Mentakab.
JAWAPAN: Nasihat saya mudah sahaja, cari yang betul-betul mantap ilmu mereka. Lihat juga akhlak mereka. Justeru ramai lepasan agama (tidak semuanya ulama) yang ilmu mereka masih mendatar (cetek), ada juga yang akhlaknya boleh dipersoalkan, belum memiliki akhlak ulama sebenar. Ada antara mereka yang terlalu penakut dan ada juga yang terlalu berani. Saya berpendapat yang seimbang dan sederhana daripada segi ilmu dan akhlak itu yang lebih baik.
Berilmu tetapi jumud, berani tetapi kurang ilmu, emosi tak bertempat dan pelbagai lagi sifat negatif golongan agama ini...kesemuanya harus diambil pertimbangan.
Kepada penanya, ingin saya perbetulkan, bukan semua lulusan ugama (sekadar ada B.A. atau M.A. hatta P.hD) boleh digolongkan sebagai ulama. Paling merisaukan, mereka yang hanya ada ilmu separuh. Kadangkala kokok mereka lebih.
Syaikh Muhammad al-Ghazali pernah menegur mereka yang belajar ilmu hari Sabtu, pada hari Ahad sudah mengajar, hari Isnin sudah ditabal mahaguru atau syeikh atau ulama besar, (apabila sudah berserban dan berjubah atau memakai title ustaz), hari Selasa dengan berani menegur orang itu dan sianu, kononnya mereka tokoh, aku pun tokoh. Berani tanpa segan menegur semua perkara yang dia pun jahil mengenainya.
Ulama separuh jalan seperti inilah kadangkala –kata Muhammad al-Ghazali- menjadi tumpuan ramai, kerana gambaran zahir, berjubah singkat dan berjanggut lebat contohnya, berani mempertikaikan segala perkara. Pertikaian remeh temeh ini subur, pada masa Islam disingkirkan dalam perkara dasar. Lalu ulama berbicara tentang hukum membatal wuduk, atau bolehkah Allah dilihat dengan mata di akhirat kelak. Mereka banyak berhujah tentang darah haid dan hukum menyimpan misai.
Mereka yang tidak ingin Islam menjadi dasar kehidupan akan menjadi lebih seronok dalam keadaan begini berlaku, jika orang ramai tenggelam dalam perbincangan yang mandul begini. Kumpulan anti Islam, mereka tidak selesa apabila ada ulama yang mula bercakap tentang perkhidmatan negara untuk umum atau untuk individu? Kenapa kekayaan negara hanya berligar di sekitar beberapa kerat kumpulan? Apakah manusia perlu hidup bebas atau takut-takut?
Adalah ulama palsu namanya, jika asyik berbincang tentang hukum menyentuh perempuan batal wuduk atau tidak, daripada membincangkan wajib atau harus mengambil bahagian dalam pilihan raya. Apa sumbangan orang Islam atau agenda ‘menghadhari’ tamadun dunia, tak kira apa nama, Islam hadhari atau hadharah Islamiah.
disogok
Masyarakat kita banyak disogok oleh ulama separuh masak ini dengan isu-isu kecil, pendapat lemah dan mazhab menyusahkan, malah tidak dapat memahami isu-isu semasa. Mereka memberi fatwa dalam realiti yang sudah berbeza. Dalam bahasa yang mudah, mereka jahil dengan “fiqh al-waqi”, kefahaman tentang realiti terkini.
Satu lagi ‘kejahilan’ mereka yang menolak pandangan imam-imam mazhab, kononnya mahu mencedok sendiri daripada al-Quran dan hadis. Memang Islam tidak menyuruh kita fanatik kepada mana-mana mazhab, tetapi lebih teruk lagi mereka yang berijtihad tanpa kelayakan. Bagaimana boleh berijtihad, jika nak memahami dalil pun belum tahu.
Kita bosan dengan tohmahan kononnya Imam Malik tidak tahu hadis istiftah, atau Abu Hanifah tidak menyuruh pengikutnya baca basmalah ketika menjadi makmum, atau bersembahyang selepas menyentuh kulit perempuan. Berani mereka mengatakan Imam Malik dan Abu Hanifah Jahil hadis, atau Imam Shafi‘i jahil. Siapa mereka ini?
Ulama al-Azhar yang dulu-dulu (termasuk di Malaysia), mampu menyelesaikan fitnah seperti ini, setelah mereka belajar Islam; memahami pendapat salaf dan khalaf, belajar berbagai-bagai kitab tafsir dan kitab hadis. Tetapi mereka yang baru pandai ini terutama mutakhir ini, hanya masih bertateh bahasa Arabnya, hanya baru belajar satu dua buah kitab hadis atau tafsir, sudah berani menyerang ulama itu dan ini, satu perbuatan yang kurang berakhlak dan tidak beradab.
Beberapa orang yang sekadar tahu membaca beberapa buah hadis sudah berani mengakui tahu akan Islam semua sekali, satu keangkuhan namanya.
Justeru itu, kita harus bersangka baik kepada semua ulama kita yang benar; ada di kalangan mereka yang bersifat lembut, ada juga yang agak bersikap keras. Tetapi tujuan mereka semua memberi panduan kepada orang ramai. Mereka ulama pembimbing (mursyid).
Jangan kita asyik bersangka buruk kepada orang lain. Kadangkala mereka itu jauh lebih baik daripada diri kita yang kita sangka serba tahu ini. Ada mereka yang suka memberi nasihat secara lembut kerana ia mungkin lebih berkesan dan ada juga mereka yang suka bercakap secara kasar dan keras kerana boleh memberi kesan.
Tetapi saya berpendapat, fitrah manusia tidak suka mereka diserang dengan keras. Saya masih ingat cerita buku sekolah rendah tahun 60-an (maaf contoh kurang elok) cerita dua jenis angin, angin ribut dan angin sepoi-sepoi bahasa yang menunjukkan kekuatan masing-masing. Angin ribut dengan kuat meniupkan si beruk yang sedang berpaut di sebatang pohon kayu. Makin kencang tiupan angin itu, makin kuat si beruk berpegang kerana takut jatuh.
Apabila tiba giliran angin sepoi bahasa dengan lembutnya menghembus bayu sejuk kepada si beruk itu, sehingga dia rasa mengantuk, lalu jatuh. Moral cerita ini, tidak semua yang keras itu berhasil dan tidak semua yang lembut itu tidak menjadi.
Kelibat tokoh hebat pun ada berbagai-bagai ragam, dari Ibn Taymiyyah yang keras sampai kepada al-Ghazali yang lebih lembut, para fuqaha yang garang, ahli sufi yang lembut, hingga Imam Ahmad dan membawa kepada al-Syafi‘i. Mereka berbeza cara dan gaya.
Usahlah kita membelah bagikan ulama kita kepada banyak kumpulan, kerajaan atau pembangkang. Mereka yang berpegang kepada kebenaran, itulah ulama sebenar. Jangan dilihat mereka salaf atau khalaf, ahli fikah atau ahli tafsir, yang ikhlas jua diterima amalan mereka.
Saya harap anda sudah ada kayu ukur menilai ulama terhadap keilmuan dan kesalehan mereka, bukan apa parti mereka, apa mazhab mereka, apa bangsa mereka atau kumpulan mana mereka ini. Jika inilah kayu ukurnya, orang itu masih tergolong puak fanatik yang dilarang agama. Wallahualam.